FEBRUARI 2022

Vaksinasi Kanak-Kanak Mulai 5 Februari


KUCHING: Kanak-kanak yang bersekolah akan menerima vaksin sama ada di sekolah masing-masing atau di pusat pemberian vaksin (PPV).

Ia meliputi PPV Jangkau Luar, PPV GP, PPV HS dan PPV KKM yang dirancang mengikut Pejabat Kesihatan Bahagian masing-masing mulai 5 Februari 2022.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus (%) kanak-kanak yang layak dan di dalam sistem pendidikan akan diberi dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

Semalam katanya, seramai 30 kanak-kanak yang mempunyai pelbagai penyakit komorbid termasuk  ‘immunocompromised’ dan menjalani rawatan susulan di Hospital Umum Sarawak (HUS) terpilih untuk menerima vaksin Pfizer kanak-kanak di bawah pengawasan pakar kanak-kanak di hospital ltu, katanya kepada media di sini, hari ini.

Uggah berkata, suntikan vaksin untuk kanak-kanak yang mempunyai komorbid lain akan diteruskan di hospital kerajaan dan swasta seluruh Sarawak.

Katanya, tarikh vaksinasi di hospital kerajaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Menurut Uggah, 80 peratus daripada mereka yang diberi dos pertama lengkap vaksinasi dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

Jumlah kanak-kanak berumur lima hingga kurang daripada 12 tahun yang layak untuk PICKids ialah 272,500 orang (9.6% daripada) jumlah populasi Sarawak, tegas beliau.

Setakat 3 Februari 2022, katanya, Sarawak telah mencapai peratus liputan dos dua 91.8% (1,875,695) bagi populasi dewasa iaitu umur 18 tahun ke atas, 88.4% bagi remaja umur 12 hingga 17 tahun dan 75.8% bagi seluruh populasi Sarawak.

Beliau berkata, pelaksanaan vaksinasi di sekolah dibuat mengikut janji temu di sekolah dan ibu bapa digalak berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui tarikh janji temu vaksinasi.

Bagi yang terlepas janji temu, katanya, ibu bapa boleh berhubung dengan pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam vaksinasi Covid-19 kanak-kanak atau klinik kerajaan terdekat untuk membuat tarikh baharu.

Sumber dari : Jiwa Bakti